Kenapa Kita Gagal Membina Semula Tamadun?
Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
Dalam sebuah cerita rakyat, kononnya seorang buta telah diberikan penglihatan dalam beberapa minit. Ketika dia celik, dia hanya berpeluang untuk melihat seekor kaldai yang ada di hadapannya. Kemudian penglihatannya dibutakan kembali. Maka dia selepas itu apabila disifatkan sesuatu kepadanya, dia akan bertanya: “Adakah ia seperti kaldai?”. Atau dia akan berkata: “Bagaimanakah ia jika dibandingkan dengan kaldai?”.Cerita itu mungkin dongengan semata. Namun ia menggambarkan keadaan insan yang tidak pernah melihat perkara lain, melainkan sesuatu yang tertentu sahaja, maka segala gambaran dan andaiannya tertumpu, atau terkait dengan apa yang pernah dia lihat sebelumnya.
Sekali lagi saya ingin memperkatakan soal membina ketamadunan. Banyak pihak bercakap atau berkempen agar umat Islam menjadi umat yang maju dan kembali membina tamadun kegemilangan. Malangnya kekadang pihak yang dikempen atau mungkin yang berkempen itu sendiri tidak memahami teras dan asas ketamadunan dalam Islam. Maka apabila bercakap soal kemajuan terus sahaja tergambar oleh mereka kemajuan atau tamadun yang sedang mereka saksi di zaman ini iaitu Tamadun Barat. Hingga tidak tergambar oleh mereka selain dari kehidupan Barat. Apatah lagi jika dibandingkan kemunduran bangsa-bangsa yang menganut Islam pada hari ini. Justeru, bagi mereka seakan jika kita ingin maju dan bertamadun kita mesti memiliki segala yang dimiliki oleh Barat, berbudaya ala Barat, bergaya ala Barat, berbahasa dengan bahasa Barat, berhiburan dengan hiburan Barat dan seterusnya. Tamadun dan kemajuan umat Islam lampau hanyalah catatan sejarah yang boleh dibaca tetapi boleh disaksikan lagi. Sama seperti cerita orang buta dan kaldai tadi. Dia hanya dapat membayangkan apa yang pernah dia tengok. Maka lebih tergambar difikirannya kaldai dibandingkan binatang lain yang hanya diceritakan kepadanya, sedangkan dia tidak pernah melihatnya.
Pendek kata, untuk menjadi maju pada hari ini, ramai umat Islam yang sangka mereka kena ceduk apa yang ada di Barat. Untuk menceduk teknologi Barat, prosesnya susah dan panjang. Juga bukan mudah untuk Barat mengajar kesemua ilmu tersebut, kerana itu tidak membuahkan keuntungan jangka masa panjang untuk mereka. Perkara yang paling pantas diceduk oleh masyarakat Islam ialah gaya hidup Barat. Maka kita mengimport fesyen Barat dalam berpakaian dan berbudaya. Dalam kita berkempen ke arah kemajuan umat, lihat sahaja perkembangan hiburan di negara kita. Segala format hiburan Barat dibawa dan didagangkan di sini. Sementara masyarakat muslim pula yang melariskannya. Hiburan-hiburan dalam media kita, bukan sahaja tidak kreatif terpaksa menceduk gaya Barat, bahkan nama program pun tidak mampu untuk diubah. Maka anak-anak kita yang tercicir dalam banyak urusan kehidupan, merasa maju kerana bergaya dengan pakaian dan hiburan secara Barat. Itulah hakikat sebahagian artis-artis kita. Maka yang berjaya diceduk dan dibawa dengan ‘ranggi’nya ke sini hanyalah nilai negatif. Sementera yang positif, kita masih meminta sedekah daripada Barat. Sama seperti orang arab yang bangga dapat bergelek dengan kereta mewah dari Barat, tapi negara dan umatnya belum mampu menghasilkan basikal sekalipun. Bahkan hasil minyak mereka setiap detik dirompak secara rela oleh Barat.
Permasalah kita –mungkin termasuk pihak yang diamanahkan untuk menguruskan kemajuan umat Islam- gagal untuk memahami apakah asas atau sukatan kemajuan dalam pandangan Islam yang kerananya umat Islam berjaya menjadi umat contoh dan pemimpin muka bumi ini dahulunya. Dalam banyak program TV yang ditaja oleh pihak tertentu, apabila cuba menggambarkan kemajuan maka disiarkan gambar orang memakai “lebai” atau songkok atau jubah beraksi di hadapan komputer. Atau gambar tokoh agama yang memakai tali leher yang saiznya kecil sedikit dari kain sejadah. Atau yang seumpamanya. Padahal, bukan setiap yang menggunakan komputer otaknya bertamadun. Entah berapa banyak ustaz di TV yang beraksi berceramah di hadapan komputer, tetapi isi kandungan ceramahnya hanya menggambarkan kemunduran cara fikirnya. Bukan semua pula yang pakai tali leher, otaknya kelas pertama. Juga bukan semua yang menggunakan internet menunjukkan dia menjadi insan yang bertamadun. Itu semua hanyalah hasil yang dinikmat dari kemajuan dan keluasan ilmu. Bukan asas kepada ketamadunan insan menurut al-Quran dan al-Sunnah.
Tamadun Islam tertegak atas prinsip akidahnya dan cara fikir atau minda yang berdisiplin berdasar prinsip-prinsip syariat. Seorang tua yang berbasikal di kampung tetapi berakhlak dengan masyarakat, menghormati hak orang ramai, lebih bertamadun dari tokoh yang bertali leher kemas tetapi mengambil rasuah. Pak cik yang berkain pelekat yang membuang sampah dalam tongnya, lebih bertamadun dari yang memakai pakaian menawan tetapi mencampak rokoknya di sana-sini.
Lebih besar dari itu, menurut Islam, seorang yang kurang berharta tetapi memelihara akidahnya dari kesyirikan dan kekhurafatan adalah lebih bertamadun dari yang berkereta mewah tapi bertangkal, atau berulang-alik ke rumah bomoh. Tamadun itu bermula dari akidah yang sejahtera dan cara fikir yang betul yang berteraskan ruh al-Quran dan al-Sunnah. Akibat hilangnya akidah dan cara fikir yang betul maka hilanglah tamadun yang pernah kita bina. Kita akan terus gagal membinanya semula selagi kita tidak membereskan soal pembinaan kefahaman terhadap prinsip-prinsip ketamadunan dalam Islam ini. Sekalipun kita ada badan, pertubuhan, institut, jabatan yang dikaitkan dengan kemajuan Islam, nampak kita belum mampu maju. Sebabnya persoalan asas terhadap kefahaman tamadun dalam Islam itu bukan sahaja tidak difahami oleh orang awam, bahkan kadang-kala gagal difahami oleh pelaksananya pun.
Sebenarnya, menghayati Islam yang tulen bererti menghayati tamadun keagungan. Namun penafsiran Islam yang sempit dan pengamalnya yang bersifat konservatif telah menggagalkan usaha membawa kembali Islam yang asal lagi tulen. Sumber Islam ialah al-Quran dan al-Sunnah dengan berteraskan tafsiran generasi awal (salaf) yang terbukti berjaya memimpin alam ini dahulunya. Sesiapa yang menghayati dan beramal dengan sumber agung ini bererti dia mengamalkan Islam yang sebenar. Sesiapa yang mengamalkan Islam yang sebenar bererti dia sedang menghayati tamadun yang agung. Kemunduran umat hari ialah kerana mereka menyimpang dari kedua sumber agung ini. Atau salah dalam menafsirkan kedua sumber tersebut.
Perlu dingat, kita tidak boleh untuk membina tamadun kegemilangan dengan membebaskan diri dari ikatan-ikatan Islam, kononnya kerana inginkan kemajuan. Jika kita inginkan ketamadunan dengan memisahkan diri dari ikatan Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah, maka tidak perlu kita membinanya atas nama Islam. Jika inginkan ketamadunan dalam ertikata yang tidak difahami oleh Islam, Tamadun Barat sudah terbentang luas untuk kita menganutinya. Namun apabila kita ingin membina kemajuan dan ketamadunan atas nama Islam, maka kita mesti terikat dengan kehendak dan peraturan Islam. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Namun yang kita ingin tegaskan sejak dari awal bahawa hadarah (ketamadunan) yang Islam hendak dirikannya bukan seperti tamadun-tamadun yang lain yang lebih mementingkan sudut kebendaan dalam kehidupan, yang lebih mementingkan sudut jasad dan nafsu pada insan. Mementingkan kelazatan yang segera di dunia. Maka ia menjadikan dunia itu perkara terbesar yang diambil berat dan sekadar itu ilmunya. Ia tidak meletakkan bagi Allah suatu kedudukan yang disebut di dalam falsafahnya. Akhirat tiada ruang baginya dalam sistem pemikiran dan pendidikan. Ini bercanggah dengan hadarah al-Islam (Tamadun Islam). Ia menyambungkan antara insan dengan Allah, mengikat antara bumi dengan langit. Ia menjadikan dunia untuk akhirat. Mencampurkan antara ruh dan kebendaaan. Menseimbangkan antara akal dan hati. Menghimpunkan antara ilmu dan iman. Ia mengambil berat tentang ketinggian akhlak seperti ia mengambil berat tentang kemajuan kebendaan. Ia sebenarnya tamadun keruhanian dan kebendaan, impian dan realiti, rabbani dan insani, akhlak dan pembangunan, individu dan jamaah. Ia adalah tamadun yang seimbang dan pertengahan” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sunnah masdaran li al-Ma’rifat wa al-Hadarat, m.s. 204, cetakan: Dar al-Syuruq, Mesir.)
Amat baik sekali apabila kita mengadakan pameran tentang ketamadunan umat kita yang lampau. Ia patut dipuji. Namun, pengunjung tidak memadai jika sekadar mengetahui hasil tapi memahami di atas tapak apa mereka membina tamadun tersebut. Barangan-barangan itu adalah hasil yang datang dari jiwa yang bermaruah untuk mempertahankan umat dan minda yang segar kerana mempunyai disiplin hidup dan harga diri.
Justeru kita tidak mungkin memahami dan mengulas tamadun yang telah dibina oleh generasi umat Islam yang lampau tanpa menghayati akidah dan pegangan Islam yang mereka kukuh berpaut dengannya. Mereka membina tamadun dengan acuan Islam yang diimani oleh mereka. Islam itu mengalir dalam urat nadi tamadun yang mereka pasak. Mereka membina tamadun di atas tapak tersebut. Tanpa memahami keimanan mereka, kita tidak akan mampu memahami kekuatan tamadun Islam sepanjang zaman. Tokoh sejarahwan Islam, Mahmud Syakir pernah membuat suatu perbandingan (analogi) yang sangat menarik, katanya:”Sesungguhnya seorang juru bina tidak akan dapat mendirikan binaan melainkan setelah dia mengkaji tapak binaan, jenis tanah, mata air dan lain-lain. Seorang doktor tidak akan mampu memberikan rawatan yang berkesan melainkan setelah dia bertanya pesakit mengenai puncanya, makanan, minuman dan lain-lain. Demikian juga seorang sejarahwan tidak dibolehkan menyebut sesuatu kisah yang sampai kepadanya atau menghuraikan sesuatu petikan tanpa mengetahui titik tolak umat ini iaitu `aqidah dan segala yang terpancar darinya iaitu kefahaman, nilaian dan maksud. Ini kerana dibimbangi akan memesongkannya di belakang hawa nafsu dan huraian yang salah yang akan membawa kepada mengubah sepenuhnya sesuatu keadaan dan jauh pula dari kefahaman yang sebenar”. (Mahmud Syakir, Al-Muntalaq al-Asasi fi al-Tarikh al-IslamI, m.s. 3-4, cetakan: Dar al-Maktab al-Islamiy, Lubnan).
Atas nama dan prinsip Islam berjayanya dibina tamadun Islam. Itulah yang menjadikan umat dahulu gemilang dan dihormati di mata dunia. Tanpa prinsip Islam tidak mungkin dapat dibina tamadun yang berteraskan Islam. Seperti mana –barangkali- di atas semangat ‘kehantuan’ tercetusnya pameran hantu. Tanpa semangat ‘kehantuan’ itu pameran hantu tidak mungkin dapat diteruskan. Namun insan yang ingin membina tamadun, juga mungkin hantu sendiri barangkali kehairanan melihat pameran yang seperti itu.
0 comments:
Post a Comment