Wednesday, January 7, 2009

Apalah hebat sangatnya tali leher dan kot yang dibangga-banggakan itu!

Sebagai seorang Islam saya amat terganggu dengan alasan hakim yang memutuskan bahawa sekolah berhak membuang pelajar yang memakai serban. Alasan tersebut sangat dangkal dan tidak sepatutnya keluar daripada seorang yang mengaku Islam.

Benarlah pernah diingatkan oleh Rasullullah S.A.W bahawa satu masa nanti Islam akan diruntuhkan oleh umatnya sendiri dengan membuat undang-undang yang membelakangkan tuntutan agama sepertimana dibuat oleh guru besar sekolah berkenaan. Biarkanlah si guru itu dan tanggunglah akibatnya diakhirat nanti. Ramai yang Islam hanya pada nama tetapi cinta pada agama sudah tidak ada lagi. Bukti kita cinta pada agama ialah adanya rasanya sifat cemburu dan marah jika Islam dipermainkan dan sunnah nabi diperolok-olokkan.

Islam memang bukan pada serban dan jubah sahaja. Tetapi alangkah manisnya jika kita katakan bahawa serban dan jubah juga adalah sebahagian daripada tuntutan Islam.

Memakai serban adalah sunnah nabi, hukumnya sunat. Sunat itu dibuat dapat pahala dan ditinggalkan tidak berdosa tetapi kedudukannya elok sangat dibuat. Begitu juga makruh, ia adalah suatu perkara yang jika dibuat tidak berdosa tetapi kedudukannya sangat elok ditinggalkan. Ini bukan perkara main-main dan remeh. Kalau kita sebagai guru atau hakim sudah tentu kita akan buat sesuatu yang ketua kita suka walaupun tidak diwajibkan dan begitu meninggalkan sesuatu yang tidak disukai oleh ketua kita.

Inilah sikap orang Islam sejati yang mana tidak akan mengambil remeh tentang hukum Allah walau pun ianya sunat atau makruh. Malah perkara yang harus pun sepatutnya kita jadikanya supaya jadi ibadah.

Alasan mengatakan bahawa mufti dan orang 'agama' kita tidak pakai serban dijadikan hujjah untuk membenarkan tindakan membuang pelajar berkenaan adalah sangat menyedihkan. Bolehkah kita katakan memakai tudung (menutup rambut) tidak wajib kerana ada anak mufti tak pakai tudung? Perlu diketahui bahawa Islam adalah agama amal, satu cara hidup dan bukan berlegar dikepala dan fikiran sahaja. Tidak semestinya orang yang tinggi Ilmu agamanya boleh diikut semua amalannya.

Saya merasakan semua ahli agama tahu akan hukum dan tuntutan memakai serban dan jubah tetapi sebahagian mereka tiada kekuatan untuk memakainya kerana sebab-sebab yang tertentu - seperti kekekangan peraturan pakaian yang dikenakan oleh pentadbir. Ada dikalangan mereka lebih rela memakai tali leher dan kot berbanding dengan serban dan jubah. Mereka sudah hilang integriti dengan berpakaian tidak seperti ulamak silam.

Yang ironi nya apabila berkumpul dalam majlis keagamaan dan membaca khutbah dimimbar, mereka akan berpakaian jubah dan berserban atau sekurang-kurangnya bertutup kepala. Satakat ini saya belum jumpa ahli agama naik mimbar pakai kot dan tali leher serta bergondol.

Fenomena inilah yang menyebabkan orang akan beralasan dan berani menghalang serta mencemuh orang pakai serban dan jubah kerana ramai ahli agama tidak menunjukkan contoh yang baik. Alangkah lebih baik jika mufti dan ahli agama pakai serban dan jubah berbanding kot dan tali leher. Saya rasakan sahsiah dan integriti ahli agama akan lebih menyerlah jika mereka berpakaian jubah dan serban berbanding songkok dan bertali leher. Sudahlah ia bukan pun daripada budaya melayu, malah tidak pula terdapat dalam sunnah Rasulullah s.a.w. Apalah hebat sangatnya tali leher dan kot yang dibangga-banggakan itu!.

Kalau kita baca sejarah ilmuan Islam kita dapati pakaian serban dan jubah bukan saja dipakai oleh ulamak dan orang arab sahaja tetapa dipakai oleh ahli sains dan falsafah islam samada daripada orang arab atau orang ajam. Ini adalah kerana cerdik pandai Islam dulu sangat mementingkan sunnah sebab itu mereka boleh berjaya. Bukankah lebih elok kalau kita saintis Islam dan dalam masa yang sama kita juga berpakaian ikut sunnah?

Seperkara lagi yang jadi kemuskilan saya ialah apakah guru berkenaan berani menyingkirkan seorang pelajar beragama sikh kerana ia memakai serban dan mahkamah memutuskan ia hak sekolah dan guru berkenaan wajar berbuat demikian?

Saya lihat di Malaysia ramai orang keturunan sikh yang tak pakai serban - jadi saya beranggapan ia juga ia bukan satu yang wajib bagi setiap orang sikh pakai serban.Kalau orang sikh boleh pakai serban mengapa orang Islam di dalam negara yang dikatakan negara Islam tak boleh pakai serban? Siapa kita yang sangat berani membuat undang-undang yang membelakangkan ajaran agama dan rasul?

Bertaubatlah sebelum terlambat. Kerana sesungguhnya kehidupan kita tidak lama dan tidak boleh menongkat dunia hanya dengan semata-mata mengagungkan pakaian asing.

Sumber - Harakahdaily




0 comments:

ClustrMaps

Locations of visitors to this page

Labels

widgeo

Check Your PR

Check Page Rank of any web site pages instantly:
This free page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP