Friday, September 12, 2008

Raja Petra ditahan di bawah ISA, Kamarudin kata ia berat sebelah

Harakah |Harakahdaily dimaklumkan pengendali laman web Malaysia-today, Raja Petra Kamarudin dilaporkan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada jam 1.10 petang tadi.

Sehingga kini, kata sumber polis masih berada di rumah Raja Petra dan beliau belum di bawa ke mana-mana pusat tahanan lagi.

Sementara Malaysiakini turut melaporkan isteri Raja Petra, Marina Lee Abdullah menyatakan suaminya ditahan di rumahnya di Bukit Rahman Putra sebentar tadi.

Mengulas penahanan itu Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar dalam kenyataan awalnya menyifatkan ia satu perkembangan yang mengejutkan tatkala kerajaan mengumumkan pembebasan sekatan terhadap laman web.

Ujarnya lagi, ini satu halangan kepada kebebasan akhbar dan maklumat di negara ini selain menunjukkan sikap 'double standard' kerajaan berikutan penahanan terpilih.

Jika benar ada bukti, sepatutnya kerajaan menghadapkan Raja Petra ke mahkamah terbuka, katanya.

Pada 6 September lalu, Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar telah memberi amaran bahawa editor lamanweb Malaysia Today itu mungkin dikenakan ISA kerana menyiarkan komen yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), telah membuat laporan polis terhadap Raja Petra berhubung perkara itu.

Mereka mendakwa komen beliau dalam artikel yang bertajuk "I Promise to be a good, non-hypocritical Muslim" didakwa menggunakan ayat-ayat yang menghina orang Islam.

Raja Petra juga didakwa telah membenarkan komen-komen disiarkan dalam lamanwebnya yang menghina Islam dan Nabi Muhammad, dalam artikel bertajuk "Not all Arabs are descendants of the Prophet".

Sementara itu, Marina berkata, mereka masih belum melantik peguam untuk mengendalikan perkara itu.

Ini adalah kali kedua Raja Petra ditahan di bawah ISA, yang membenarkan tahanan tanpa bicara.

Kali pertama, beliau ditangkap di bawah ISA pada 11 April 2001 ketika gerakan reformasi di mana sembilan orang telah ditahan. Pada masa itu, beliau merupakan webmaster lamanweb FreeAnwar.com ketika itu.

Raja Petra dibebaskan selepas ditahan selama 52 hari. Bagaimanapun, enam daripada pemimpin reformasi itu dihantar ke Kem Tahanan Kamunting di Tapiling di mana mereka ditahan selama dua tahun._

0 comments:

ClustrMaps

Locations of visitors to this page

Labels

widgeo

Check Your PR

Check Page Rank of any web site pages instantly:
This free page rank checking tool is powered by Page Rank Checker service

Blog Archive

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP