Thursday, July 16, 2009

Syarat-syarat santau

JULAI 15 — Santau adalah sejenis ilmu hitam orang-orang Melayu yang digunakan untuk meracun atau menyakiti pihak musuh. Biasa kita dengar bahawa santau ini digunakan oleh orang tertentu yang dengki dengan kejayaan seseorang itu terutama dalam bidang perniagaan runcit dan industry kedai makan. Banyak cerita-cerita mengenai bagaimana sesebuah restoran yang sedang maju telah berjaya disantau kerana hasat dengki pesaing; pelanggan yang makan di restoran berkenaan akan mengalami sakit perut dan muntah-muntah. Akan tetapi samaada ianya keracunan makanan, taun atau santau kesahihan biasanya tidak dapat dipastikan.

Santau banyak dibincangkan dan diperdebatkan dengan meluas di kedai-kedai kopi dan juga media akademik alternatif seperti Mastika, Mingguan Misteri, Pesona dan sebagainya. Sebagai contoh baru-baru ini penulis sempat berborak dengan seorang pensyarah dari Grik yang datang melawat ke syarikat kami bersama dengan pelajar-pelajarnya. Pensyarah itu dengan arif menceritakan terdapat pelbagai jenis santau seperti santau angin, santau bersalam, santau lalu, santau ujian dan macam-macamlah. Malah ilmu santau pensyarah itu cukup mendalam membuatkan pemandu bas yang kebetulan makan bersama kami menyoal:

“Aii macam-macam jenis santau dekat Grik ni Cik tahu, saya duduk sana sejak 20 tahun pun tak pernah dengar, Cik amalkan ke?”

Pensyarah itu yang tersipu mendengar pernyataan itu menerangkan yang dia cuma dengar-dengar je dari orang cerita.

“Saya dengar je apa orang kata, betul tak betul tak tahulah.”

Teringat saya dengan cikgu sekolah saya masa darjah enam dulu, dia tak mahu gambar dia diambil seorang diri sebab takut nanti orang pakai gambar tu nak “ilmukan” dia. Siapa lah nak “ilmukan” cikgu saya tu, kalau cantik macam Siti Nurhaliza atau Ramlah Ram pun takpelah jugak.

Namun cerita itu membuatkan saya berfikir banyak mengenai santau ini kerana ianya merupakan topik hangat di kalangan orang Melayu. Setelah saya membuat sesi penaakulan di dalam tandas dan mengumpul segala maklumat dari sesi kedai kopi dan mengumpat telah dapat saya agak atau menyenaraikan antara syarat-syarat untuk sesuatu Santau itu berkesan. Seperti ilmu-ilmu hitam yang lain santau juga mempunyai banyak pantang larang.

Kalau kita dengar dari cerita-cerita santau selalunya melibatkan kedai makan atau kedai runcit. Namun ianya mempunyai suatu corak yang lebih kurang sama walaupun lokasi dan masa yang berlainan. Santau biasanya mesti antara gerai hodoh nasi lemak yang nak roboh di tepi longkang disantau oleh tuan punya gerai hodoh nak roboh di tepi longkang di seberang jalan sana sebab kononnya dia tak puas hati yang gerai nasi lemak yang belah sini lagi laku sebab dekat dengan “bus stop”. Syarat yang paling penting untuk santau itu menjadi ialah dua-dua tuan punya gerai mesti Melayu, yang makan dan kena santau pun kena orang Melayu jugak. Sebab itu kita tak pernah dengar kedai bak kut teh atau restoran daun pisang kena santau. Sebab pantang larang pertama untuk santau ialah ianya mestilah sesama orang Melayu. Kalau bangsa lain dia tak jadi, dan semakin hodoh gerai di tepi jalan itu maka kebarangkalian untuk kena santau adalah semakin tinggi. Kita selalu dengar restoran nasi campur dan nasi padang yang kena santau tapi belum pernah kita dengar restoran Woh Kah Seng 888 disantau. Kalau kena bayar wang perlindungan itu ada lah.

Pantang larang yang kedua untuk santau ini ialah dia tak boleh digunakan terhadap kedai-kedai atau restoran yang merupakan jenis cawangan atau “franchise”. Cuba para pembaca sekelian fikirkan sebentar, pernahkah kita dengar McDonald’s, Kentucky Fried Chicken, Giant, Jaya Jusco ataupun Carrefour disantau? Tidak pernah bukan, ahaaaaaa ini adalah kerana mereka ini adalah jenis franchise. Saya yakin ramai peniaga kecil terutama peniaga runcit yang tidak berpuas hati dengan kehadiran pasaraya besar yang merosakkan perniagaan mereka jauh lebih dahsyat dari kedai runcit pesaing yang lain. Namun apakan daya santau tidak berkesan terhadap pasaraya besar kerana Jin santau itu dia tak boleh nak lakukan kerja kalau dia tidak pasti siapakah tuan punya kedai berkenaan. Tapi kalau kedai runcit kecil yang ada mesin kukur kelapa dan kepunyaan orang Melayu mesti boleh punya. Walaupun “franchise” McDonald’s ini kepunyaan syarikat Melayu tapi ianya jenis bukan persendirian jadi itu yang tak jadi tu.

Tapi pasti ada yang bertanya, bagaimana pula dengan kedai atau restoran kepunyaan persendirian orang Melayu yang terletak di dalam pasaraya? Adakah ianya boleh kita santau? Nampak macam boleh tapi sebenarnya santau kita juga akan gagal sekiranya dihantar. Pantang larang ketiga ialah santau tidak boleh berkesan sekiranya kedai atau restoran berkenaan mempunyai penghawa dingin. Ini adalah kerana Jin santau tu Jin Melayu dan bukan Jin orang putih jadi dia tak tahan sejuk sebab Jin Melayu mana ada “sweater” paling kuat pun kain pelikat je. Sebab itu kita tak pernah nampak kes santau di KLCC ke ataupun Pavilion apatah lagi berlaku di Jaya Jusco. Lagipun berapa kerat sangat orang Melayu mempunyai kedai di tempat-tempat berkenaan.

Memang pelik bunyinya, santau yang konon hebat itu kalau kita dengar betul-betul ceritanya banyak masaalah dan kelemahan. Hendak pulak apatah lagi dari cerita-cerita yang kita dengar mengenai santau adalah dari orang-orang yang sendiri tak pernah kena santau. Selalunya rujukan adalah seperti berikut, tukang cerita dengar cerita santau dari orang kampung dia dulu yang mana orang sebelah rumah ada menyertai lawatan ke kilang batik di Pahang dan salah satu ahli rombongan itu kena santau masa makan dekat tepi lebuhraya. Dahsyat.

Pelik tak, kenapa bomoh yang hebat selalu tinggal dekat rumah hodoh yang nak roboh dekat hujung kampung yang eletrik pun belum tentu ada. Apa guna jadi bomoh yang hebat sampai boleh menyakitkan orang pakai angin je tapi tak mampu nak bayar bil Astro, takdelah hebat mana. Kalau ini macam baik jadi eksekutif MLM kurang-kurang ada can nak pakai Mercedes, dapat lengkap tujuh pasang je dah selesa tak payah jual barang.

Tapi itulah dia orang Melayu kita ni, cukup takut dengan benda-benda yang tak nampak ni tapi pada masa yang sama kabur dan terlepas pandang benda yang nyata. Kita sibuk sangat dengan makhluk-makhluk halus ni makhluk yang besar dan nyata ni kita tak nampak. Cuba kita berfikir sejenak, pernahkah anda dengar makhluk halus bunuh orang ke, merogol, merompak, menyamun, meragut, sumbang mahram, mendera kanak-kanak ataupun mencederakan orang. Kita ni sibuk sangat takut dengan hantu tapi kita tak sedar yang manusia ni, manusia yang masih hidup ini adalah jauh lebih dahsyat atau lebih hantu dari hantu.

Teringat saya dulu tentang kes Mona Fandey, macam-macam cerita lah keluar dan ketika itu saya masih sekolah rendah. Cukup sibuk dan macam-macam teori keluar, konon Monda Fandey kalau mati jadi monyet lah, dia belajar dekat Indonesia lah macam-macamlah.

Benda pertama yang saya ingat dari kejadian itu adalah ayat yang terkeluar dari pelakon bernama Zakaria Yusof iaitu bapak kawan saya dalam satu dokumentari mengenai dadah dan AIDS...

“Rupanya Mona lebih advance...”

Dan sejak dari itu nama perempuan jahat dalam drama Melayu selalunya Mona, dan saya nasihatkan dari anda sibuk sangat risau tentang benda-benda yang kita tak pasti ni baik kita buat kerja yang lebih berfaedah sebelum kita jauh ketinggalan dari orang lain yang “jauh lebih advance...”

P.S: Dari sibuk menyantau orang dekat Grik apa kata pergi santau rejim Zionis kat Palestin tu. Tak gitu?

Source ~ themalaysianinsider

0 comments:

ClustrMaps

Locations of visitors to this page

Labels

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP