Monday, February 18, 2008

Renungan buat kita semua sebelum mengundi

Tanggal 8 Mac ini setiap kita warganegara Malaysia yang berdafatar sebagai pengundi akan diberi hak untuk membuang undi. Kita akan diberikan suara untuk menyatakan kemahuan kita dalam menentukan pemimpin pilihan kita. Ianya suatu tugas dan tanggungjawab yang sangat besar, bukan kerja main-mainan. Sesiapa yang kita pilih itu jika memperolehi suara terbanyak maka dialah yang akan mewakili kita dan jika parti atau kelompok beliau yang memiliki kerusi terbanyak maka merekalah yang akan membentuk kerajaan.

Bermakna jika kita silap, kurang periksa dan tidak berhati-hati akibatnya yang pincang yang akan naik, dan kitalah yang bakal menanggung beban, derita dan azabnya.

Pada tanggal 23 April 1995 dua hari sebelum Pilihan Raya Umum 1995 bertempat di Stadium Sultan Muhammad ke IV Kota Bharu sempena Perhimpunan Rakyat Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat telah menyampaikan pesanan berikut:



Masalah pilihan bukan berlaku setiap lima tahun sekali. Pilihan berlaku setiap hari, setiap jam, setiap saat kerana manusia itu ditakdir oleh Allah swt hidup di muka dunia ini diapit dan dikapit oleh malaikat di sebelah kanan, syaitan di sebelah kiri. Tidak kira orang ini Yang Berhormat, Yang Amat Berhormat, Yang Amat Arif. Tiap-tiap manusia di muka dunia ini diapit dengan kiraman katibin, dengan malaikat yang mencatit amalan baik, malaikat yang mencatit amalan jahat.

Bila berdepan dengan sesuatu perkara , manusia secara otomatik terpaksa memilih samada hendak menurut kehendak malaikat, hendak turut kehendak syaitan, samada sedar atau tidak. Setiap saat, setiap masa, setiap jam, manusia terpaksa memilih. Memilih samada makanan, minuman, pakaian, duit, berniaga, memangkah. Memilih apa sahaja pun. Manusia terpaksa memilih, kerana memang begitu peribadi atau tabiat manusia.

Kita sebagai seorang Muslim yang akil baligh telah diberi panduan hidup oleh Allah swt supaya kita memilih barang yang baik. Tidak ada yang baik di muka dunia ini, kecuali perkara yang telah ditetapkan baiknya oleh Allah swt. Maka bagi kita orang mukmin tetap memilih perkara yang baik, dan tidak ada perkara yang baik, saya ulangi, melainkan perkara yang dikatakan baik oleh Allah swt:

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. (al Ahzab: 36)

Mudah-mudahan pesanan ini direnung dan diamalkan oleh semua kita semua dengan serius dan penuh tanggungjawab demi maruah dan masa depan agama, bangsa dan negara kita yang tercinta.

0 comments:

ClustrMaps

Locations of visitors to this page

Labels

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP